Bil 91/2012 Maulidur Rasul SAW

Assalamualaikum.


Pada tarikh 12 Rabiul Awal, Hijri setiap tahun kita menyambut Maulidur Rasul yang menjadi salah satu hari kebesaran Islam. Walaupun Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan kita sejak lebih 1,420 yang lalu, tetapi dengan cinta kasih kita kepada baginda serta sunnah baginda, maka kita merasakan seolah-olah baginda masih hidup berada bersama kita. Nabi Muhammad adalah satu-satunya Rasul yang telah menyelesaikan tugas dan menyempurnakan amanah pekerjaan sewaktu hayat baginda. Baginda telah membawa kepada kita risalah Allah dengan dua cara iaitu melalui wahyu Qur’ani; dan melalui perbuatan, perkataan serta pengakuannya atau apa yang dinamakan sebagai sunnah nabawiyah.

Kemuliaan akhlak Rasulullah SAW sebagaimana yang dicerminkan di dalam al-Quran, wajib di ambil tauladan secara mutlak dan di taati sepanjang kehidupan ini.

Firman Allah SWT di dalam Surah at-Taghaabun, ayat 12 yang bermaksud:
“Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas nyata”.

Bukti penegasan ‘taat kepada Rasulullah’ ini terdapat di dalam kalimah syahadah. Kalimah ini mensyaratkan bahawa seseorang itu tidak sempurna Islamnya jika hanya mengaku beriman kepada Allah SWT tanpa mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW. Ini menggambarkan satu istinbat mutlak bahawa makna mencintai Rasulullah SAW adalah dengan mentaati keseluruhan ajaran baginda. Pada masa sama ia membawa kita mencintai Allah SWT. Oleh itu, beriman kepada para Rasul Allah adalah wajib dan menjadi tunjang kekuatan akidah Islam. Sesiapa yang mengingkari perintah Rasul bererti dia keluar dari lingkaran keimanan.

Persoalan besar timbul ialah bagaimana bentuk dan pengukuran bahawa kita tergolong orang Islam yang benar-benar mencintai Rasulullah SAW?. Ramai orang mengakui cinta kepada Rasulullah tetapi tidak tahu bentuk dan hakikatnya. Cinta yang jujur akan menggerakkan seluruh perasaan dan kelakuan manusia untuk membuat sesuatu sebagai cermin kehidupannya yang selari dengan ajaran Islam.  

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 31 bermaksud:
“Katakanlah: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Imam at-Tirmizi  meriwayatkan bahawa Abdullah bin Mughaffal r.a. berkata:
“Seseorang telah datang menemui Nabi SAW dan berkata: “Demi Allah, saya sangat kasih kepada-Mu, Ya Rasulullah”. Jawab Nabi SAW: “Perhatikan benar-benar perkataanmu itu”. Orang itu berkata: “Demi Allah, saya cinta kepadamu, Ya Rasulullah (di ulangi sehingga tiga kali)”. Maka Nabi SAW bersabda: “Jika benar kamu cinta-kasih kepadaku, maka bersiap-sedialah menghadapi kemiskinan-kesusahan, persiapkan dirimu dengan baju (benteng iman) yang kukuh (agar dapat menghadapi segala kemungkinan susahpayah), kerana kemiskinan-susahpayah itu lebih cepat datangnya kepada orang yang cinta-kasih kepadaku melebihi kecepatan (air) banjir ke dalam jurang (lembah-gaung yang dalam).

Antara petanda cinta kasih kepada Rasul SAW dapat dirumuskan seperti berikut:

1.     Melaksanakan dengan penuh taat segala perintah Allah dan Rasulullah SAW.
2.     Mempertahankan dengan segala upaya kemuliaan Rasulullah SAW dari sebarang penghinaan.
3.     Memberikan penghormatan sewajarnya kepada Rasulullah SAW dalam tindak tanduk kita seharian.
4.     Mencontohi akhlak, keperibadian dan teladan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW; dan
5.     Membanyakkan ucapan selawat dan salam kepada Nabi SAW.

Wallahua’lam.
Selamat Menyambut Maulidur Rasul.
“PERSEFAHAMAN ASAS PERPADUAN UMMAH

Admin P@P

3 Response to "Bil 91/2012 Maulidur Rasul SAW"

  1. Abd Razak says:

    Assalamualaikum cikgu..

    Moga cikgu sihat atas izin~Nya jua..

    Dialah (Rasulullah) cahaya yang sinarnya adalah petunjuk bagi mereka yang mencari kebenaran. Di bawah panjinya para rasul berhimpun, bernaung dan berdiri.

    Salam Maulidur Rasul

    Kakzakie says:

    Assalamu'alaikum cikgu,

    Rasa bagai baru benar sambutan Maulid diraikan dah tiba lagi. Cepat betul masa berlalu.

    Moga keimanan kita bertambah kental dgn adanya majlis-majlis ilmu dan kasih kita pada baginda tidak putus sehingga ke akhir hayat.

    Selamat berselawat ke atas junjungan Rasulullah saw...

    Cikgu Ma says:

    assalamualaikum cikgu...salam perkenalan...

    sama-sama kita contohi peribadi rasulullah..sambutan bukan sekadar adat, tapi penghayatan yang kita cari...

Powered by Blogger