Bil 50/2011 Aurat: Antara Tutup dan Dedah
Assalamualaikum.
Salam sejahtera.
Dewasa ini seperti sudah menjadi sesuatu yang biasa dan lumrah apabila pasangan/seseorang artis (muslim) melangsungkan perkahwinan dalam suasana mewah dengan tetamu jemputan dari kalangan ‘orang-orang besar’, pak menteri, bahkan ketua negeri dan ketua negara. Semakin popular dan semakin tinggi ‘ranking’ seseorang artis tersebut, maka semakin ‘glamour’lah majlis perkahwinan tersebut. Sudah tentu hantarannya akan ‘terlebih’ mahal, lokasinya hotel-hotel mewah, makanannya ala-ala barat, dan yang lebih penting pakaian pengantin pasangan ini yang mewah dan bercirikan barat, walaupun ada diselitkan pakaian ‘melayu’. Ya. Pakaian melayu yang tidak semestinya bercirikan Islam.
Bila disebut ‘bercirikan Islam’, maka yang paling utama ialah pakaian yang menutup aurat. Tidak pernah berlaku dalam sejarah perkahwinan/persandingan sama ada artis atau orang kenamaan lain, atau juga orang-orang biasa, atau mereka yang bukan Islam (non-muslim) yang ‘menyajikan’ pengantin lelaki dengan pakaian yang mendedahkan aurat. Walaupun fesyennya ala-ala barat, ia tetap menutup aurat. Maksudnya tidak terdedah tubuhnya yang ‘di antara pusat dan lutut’. Atau mengenakan seluar pendek atau ‘boxer’.
Berbeza dengan pengantin perempuan yang biasa dan sentiasa terdedah auratnya, walaupun berpakaian ala-ala melayu. Hanya segelintir kecil sahaja yang sanggup dan bersedia mengenakan pakaian yang pada anggapan mereka sebagai menutup, tetapi dari pandangan syariat masih lagi belum sempurna. Belum sempurna kerana mungkin pakaian tersebut amat sendat dan ketat, atau kain yang nipis dan ‘jarang’, atau tudung yang sekadar melilit hingga ke leher sahaja, membiarkan bentuk dada terlihat jelas, berlawanan dengan apa yang diarahkan Allah dalam al-Quran, contohnya Surah an-Nur ayat 31.
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Dan sudah menjadi satu ‘trend’ yang semakin diminati masa kini, bukan sahaja dalam kalangan artis, bahkan masyarakat Islam secara keseluruhannya, ialah mengadakan majlis ‘akad nikah’ dalam masjid. Walaupun acara akad nikah dalam masjid ini ada pro dan kontra, kita perlu melihat dari sudut yang positif sebagai mengimarahkan dan mempelbagaikan fungsi masjid agar tidak terhad kepada solat semata, selagimana acara tersebut tidak bertentangan dengan hukum syarak. Persoalannya, sejauhmana ia tidak bertentangan dengan hukum syarak, kalau bakal pengantin (perempuan) ini mengenakan pakaian yang tidak sempurna menutup aurat?
Kalau kita masih ingat suatu ketika ‘kita’ bising apabila seorang rakyat Malaysia yang bukan Islam memasuki masjid tanpa menutup aurat, walau masih dikatagorikan sebagai ‘sopan’ dalam norma. Tetapi apabila ia berlaku dalam kalangan umat Islam sendiri, kita seolah-olah menyatakan ia tidak mengapa!? Mengapa perlu ada ‘double standard’. Orang Islam boleh dedah, orang bukan Islam tak boleh dedah!
Dan satu perkara yang tidak kurang penting, bahkan amat penting dan wajib bagi setiap muslim, perlu diingat bahawa MENUTUP AURAT ITU WAJIB BAGI SETIAP MUSLIM PADA SETIAP MASA, bukan hanya untuk berkahwin/bersanding atau menghadiri perbicaraan di Mahkamah Syariah sahaja. Tapi itulah yang berlaku. Maka UBAHlah. Marilah berUBAH. Semoga Allah menerima segala ibadah kita. Amin.
RSS Feed
Twitter

