Bil 93/2012 Taubat


Assalamualaikum.


Daripada Abu Hurairah RA katanya:  "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Demi Allah sesungguhnya aku beristigfar kepada Allah dan bertaubat kepadanya di dalam sehari lebih daripada 70 kali."

Kita umat Islam hari ini seperti mengambil mudah soal istighfar atau memohon keampunan dari Allah yang juga disebut sebagai taubat atau bertaubat. Masa yang paling sesuai untuk memohon keampunan Allah atau bertaubat kepadaNya ialah sesudah selesai solat lima waktu. Hanya seringkas ucapan atau lafaz ‘astaghfirullah al’azim’, tetapi sebahagian kita lebih rela bergegas bangun dan berlalu tanpa doa atau doa yang amat ringkas sebaik memberi salam.

Kalau kita dapat amalkan bertaubat pada setiap kali selepas menunaikan solat, sekurang-kurangnya 20 kali lafaz istighfar bagi setiap waktu,  memahami maksudnya serta dengan hati yang ikhlas, insyaAllah kita akan terhindar dari perbuatan yang yang keji dan mungkar.  Ia sebagai benteng tambahan selain solat fardhu, kerana solat fardhu kita itu belum tentu kesempurnaannya, dan belum tentu dapat menghindarkan kita dari perbuatan keji dan mungkar.

Semoga kita mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Admin P@P

Bil 92/2012 Valentines Day


Assalamualaikum.


Fenomena sebahagian remaja hari ini yang menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan paling diminati dan sangat-sangat ditunggu untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan kita sebagai umat Islam. Menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”. Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Romawi. Sedar atau tidak, jika seseorang meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”, maka dengan hal itu sesungguhnya ia telah secara terang melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan aqidah umat Islam dan dimurkai Allah SWT. Ini kerana ia telah meminta seseorang menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.

Berdasarkan kepada pandangan sebahagian besar tokoh- tokoh agama, mereka telah menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Sambutan Hari Valentine ini adalah bertentangan dengan Syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam. Begitu juga Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Persoalan besar timbul ialah apakah yang menyebabkan gejala negatif seumpama ini terus berlaku? Jawapannya ialah kerana kualiti keimanan umat Islam yang lemah dan kekaburan di dalam menegakkan prinsip-prinsip asas agama yang menjadi tunjang kehidupan sebagai seseorang muslim. Dengan ini kita terpesong dengan cara hidup yang sebenar. Kita juga jangan lupa bahawa syaitan dan sekutunya telah berjanji dengan Allah SWT untuk terus menyesatkan orang yang beriman.  Maksud firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 119:
 Dan sungguh, aku akan menyesatkan mereka, dan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan menyuruh mereka membelah telinga binatang ternak; dan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang dita'ati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata".

Islam sebagai agama fitrah dan sempurna, sentiasa menganjurkan kasih sayang sesama umatnya. Ini dapat dilihat melalui apa yang diungkapkan di dalam Kitab al-Quran dan dijelmakan oleh Rasulullah SAW. Menzahirkan kasih sayang kepada ‘kekasih’ perlulah ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang diantara dua jantina berbeza tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir. Tetapi ia perlu diikat dengan satu ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi yang dinamakan sebagai perkahwinan. Keindahan dalam menzahirkan kasih sayang itulah yang dianjurkan oleh Islam dan perlulah disemai dan dibajai setiap hari tanpa perlu menunggu detik satu hari dalam setahun. Ingatlah bahawa kasih sayang yang utama adalah hanya kepada Allah SWT, rasul-Nya dan berjihad di jalan-Nya. Kasih sayang berlandaskan keimanan akan melahirkan cahaya keinsafan kepada hakikat diri dan penciptaNya sehingga sanggup berkorban dan mampu menundukkan hawa nafsu jahat. Maksud firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 207:
Dan di antara manusia ada Yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.

Justeru bagi menyelamatkan agama dan ummah dari terus musnah akibat impak amalan-amalan bertentangan dengan aqidah dan syariah, semua pihak hendaklah  mewar-warkan larangan Sambutan Valentine’s Day dari terus diraikan oleh umat Islam khususnya di Malaysia.  Jangan kita terlibat dengan budaya songsang yang boleh melemahkan ummah dan menyesatkan. Wujudkanlah perasaan anti Valentine’s Day di dada dan minda, hadirkanlah rasa benci dan tidak akan meraikannya melalui penyertaan aktiviti-aktiviti yang menyalahi aqidah, syarak dan tamadun manusia.

(diolah dari khutbah Jumaat yang disediakan JAKIM)

Admin P@P

Bil 91/2012 Maulidur Rasul SAW

Assalamualaikum.


Pada tarikh 12 Rabiul Awal, Hijri setiap tahun kita menyambut Maulidur Rasul yang menjadi salah satu hari kebesaran Islam. Walaupun Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan kita sejak lebih 1,420 yang lalu, tetapi dengan cinta kasih kita kepada baginda serta sunnah baginda, maka kita merasakan seolah-olah baginda masih hidup berada bersama kita. Nabi Muhammad adalah satu-satunya Rasul yang telah menyelesaikan tugas dan menyempurnakan amanah pekerjaan sewaktu hayat baginda. Baginda telah membawa kepada kita risalah Allah dengan dua cara iaitu melalui wahyu Qur’ani; dan melalui perbuatan, perkataan serta pengakuannya atau apa yang dinamakan sebagai sunnah nabawiyah.

Kemuliaan akhlak Rasulullah SAW sebagaimana yang dicerminkan di dalam al-Quran, wajib di ambil tauladan secara mutlak dan di taati sepanjang kehidupan ini.

Firman Allah SWT di dalam Surah at-Taghaabun, ayat 12 yang bermaksud:
“Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas nyata”.

Bukti penegasan ‘taat kepada Rasulullah’ ini terdapat di dalam kalimah syahadah. Kalimah ini mensyaratkan bahawa seseorang itu tidak sempurna Islamnya jika hanya mengaku beriman kepada Allah SWT tanpa mengakui kerasulan Nabi Muhammad SAW. Ini menggambarkan satu istinbat mutlak bahawa makna mencintai Rasulullah SAW adalah dengan mentaati keseluruhan ajaran baginda. Pada masa sama ia membawa kita mencintai Allah SWT. Oleh itu, beriman kepada para Rasul Allah adalah wajib dan menjadi tunjang kekuatan akidah Islam. Sesiapa yang mengingkari perintah Rasul bererti dia keluar dari lingkaran keimanan.

Persoalan besar timbul ialah bagaimana bentuk dan pengukuran bahawa kita tergolong orang Islam yang benar-benar mencintai Rasulullah SAW?. Ramai orang mengakui cinta kepada Rasulullah tetapi tidak tahu bentuk dan hakikatnya. Cinta yang jujur akan menggerakkan seluruh perasaan dan kelakuan manusia untuk membuat sesuatu sebagai cermin kehidupannya yang selari dengan ajaran Islam.  

Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 31 bermaksud:
“Katakanlah: Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Imam at-Tirmizi  meriwayatkan bahawa Abdullah bin Mughaffal r.a. berkata:
“Seseorang telah datang menemui Nabi SAW dan berkata: “Demi Allah, saya sangat kasih kepada-Mu, Ya Rasulullah”. Jawab Nabi SAW: “Perhatikan benar-benar perkataanmu itu”. Orang itu berkata: “Demi Allah, saya cinta kepadamu, Ya Rasulullah (di ulangi sehingga tiga kali)”. Maka Nabi SAW bersabda: “Jika benar kamu cinta-kasih kepadaku, maka bersiap-sedialah menghadapi kemiskinan-kesusahan, persiapkan dirimu dengan baju (benteng iman) yang kukuh (agar dapat menghadapi segala kemungkinan susahpayah), kerana kemiskinan-susahpayah itu lebih cepat datangnya kepada orang yang cinta-kasih kepadaku melebihi kecepatan (air) banjir ke dalam jurang (lembah-gaung yang dalam).

Antara petanda cinta kasih kepada Rasul SAW dapat dirumuskan seperti berikut:

1.     Melaksanakan dengan penuh taat segala perintah Allah dan Rasulullah SAW.
2.     Mempertahankan dengan segala upaya kemuliaan Rasulullah SAW dari sebarang penghinaan.
3.     Memberikan penghormatan sewajarnya kepada Rasulullah SAW dalam tindak tanduk kita seharian.
4.     Mencontohi akhlak, keperibadian dan teladan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW; dan
5.     Membanyakkan ucapan selawat dan salam kepada Nabi SAW.

Wallahua’lam.
Selamat Menyambut Maulidur Rasul.
“PERSEFAHAMAN ASAS PERPADUAN UMMAH

Admin P@P

Powered by Blogger