Bil 69/2011 Gambaran/Foto Pesta Nanas Sarikei

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Saya sempat berkunjung ke Pesta Nanas tersebut pada Sabtu 23 Julai yang lepas. Pada hemat saya sudah tentu banyak gerai yang akan menjual barangan berasaskan nanas, atau pelbagai variasi buah nanas kerana sekarang adalah musim nanas di sini. Sebaliknya apa yang saya dapati, tiada satu gerai pun yang menjual buah nanas atau barangan berasaskan nanas seperti jem nanas, kuih tat nanas dan sebagainya. Barangan yang dijual adalah seperti kain baju, permainan, perhiasan, termasuk juga barangan kraf.

Bil 68/2011 Sedikit Info Pesta Nanas Sarikei


Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.


Pesta Nanas Sarikei telah dilancarkan oleh YB Datuk David Teng Lung Chi pada 24 September 2005. Ia adalah bertujuan mempromosikan aktiviti-aktiviti pertanian dan ekonmi di Sarikei seterusnya mempromosi Sarikei sebagai sebuah destinasi pelancongan dan percutian yang menjurus kepada meningkatkan ekonomi penduduk tempatan.

Bil 67/2011 "Nanas Sarikei"


Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Pesta Nanas Sarikei Kembali Lagi. Bermula hari ini, dan kemuncaknya ialah pada 23 Julai (Sabtu)  di mana pengunjung dari luar Sarikei berpeluang datang (cuti hujung minggu).

Bil 66/2011 Bicara Al-Quran

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Teringat zaman kanak-kanak dan remaja, apabila tiba bulan Ramadhan, selain makanan yang enak semasa berbuka dan solat sunat tarawikh selepas isyak, saat yang ditunggu-tunggu ialah Musabaqah Tilawah al-Quran. 'Dulu-dulu' Malaysia merupakan 'juara' dalam mendendangkan  alunan al-Quran yang tiada taranya seantero dunia. Dan dulu-dulu juga kita akan diperdengarkan dengan bacaan peserta luar negara yang 'menimbulkan rasa belas' kita apabila mendengarnya. Tiada alunan tarannum selain suara yang 'tiada merdu'nya serta tajwidnya yang kurang memuaskan.

Bil 65/2011 Bicara Hati (Muhasabah)

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Ketika memandu pagi ini sempat juga mendengar (tak dapat nak menonton kerana perlu memberi lebih perhatian di jalanraya) satu slot kerohanian di TV1. Saya tak ingat tajuk. Tapi perkara yang menarik perhatian saya ialah realiti kehidupan kita umat manusia termasuklah umat Islam yang amat terdorong dan bermotivasi dalam meningkatkan taraf kehidupan didunia. Faktor yang disebut ialah 'kita' akan lebih cenderung untuk melihat mereka yang berada 'di atas' dan seterusnya berusaha dengan sedaya upaya untuk mencapai tahap yang sama atau lebih lagi. Contohnya, kalau sahabat handai kita memiliki rumah berkembar sementara kita hanya mendiami rumah teres, maka kita sentiasa berazam untuk memiliki rumah yang sama atau lebih hebat dari itu.

Sebaliknya dalam hal berkaitan ukhrawi / akhirat, kita lebih suka melihat kepada mereka yang berada 'di bawah'. Mereka tak pergi masjid, aku pergi. Mereka tak bersedekah, aku ada, Mereka mencuri, aku tidak. Dan pelbagai lagi kekurangan orang lain yang dilihat, menyebabkan kita rasa selesa dan berpahala besar serta berpeluang masuk syurga Allah.  Dan natijahnya kita kurang usaha untuk menambahbaik amal ibadat yang sedia ada.

Walhal, dalam keadaan yang lebih waras kita sepatutnya lebih berazam menambahbaik amal ibadat dengan memandang mereka yang 'di atas'. Ini akan memotivasikan dan memberi lebih semangat untuk kita berlumba-lumba melipatgandakan lagi ibadat kita.

Wallahu a'lam.

Bil 64/2011 Bicara Kehidupan

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

"Setiap dari kita sentiasa menempuh kejayaan".  Begitu ungkapan rakan saya dalam 'sembang pagi', pagi ini.

Contoh yang diberi mudah sahaja. Kejayaan paling besar apabila bangun pagi, kita dah berjaya bangun dari tidur dan tidak mati (belum ajal). Diikuti dengan kejayaan ke dua iaitu bangun dari tempat tidur (katil dsb) menuju ke bilik air (buang air, gosok gigi, mandi, ambil wuduk) dan seterusnya berjaya menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim dengan menunaikan solat, menyembah yang Maha Esa.

Seterusnya berjaya pula sampai ke tempat kerja dalam keadaan selamat. Dan sepanjang hari ini insyaAllah akan berjaya menunaikan tugas dan tanggungjawab di tempat kerja, demi rezeki yang halal. Kesimpulannya kita sentiasa dikelilingi oleh kejayaan demi kejayaan. Tetapi lumrah manusia, kita sentiasa melihat kepada kegagalan apabila memberi nisbah kejayaan hanya kepada perkara-perkara utama dalam karier dan kehidupan.

Sebagai contoh, minggu mendatang kami akan mengadakan majlis khas bagi penerima anugerah perkhidmatan cemerlang (APC). Saya tak tersenarai. Rakan saya ini juga tak tersenarai. Apakah ini bermaksud kami telah gagal. Dari aspek APC, kalau nak sangat menterjemahkan kegagalan, maka saya dan beliau telah gagal. Tetapi apakah itu sahaja tujuan dan matlamat kita dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab sebagai anggota perkhidmatan awam? Kenapa tidak melihat kepada betapa banyak kejayaan yang telah kita alami dan kecapi dalam kehidupan kita. 

SEMOGA KITA TERUS BAHAGIA DENGAN KEJAYAAN-KEJAYAAN YANG DIKECAPI...

Bil 63/2011 Bicara Al-Hijrah

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Syukur Alhamdulillah, berkesempatan 'update' blog P&P malam ini. Pagi esok rutin seperti biasa akan diulangi lagi. Seawal 6.10 pagi telah meluncur di jalanraya, kadang-kadang 'sesak' dan kadangkala lengang, 'menghantar' anak-anak. Menghala ke SMK memakan masa dalam 15 minit, berpatah balik menuju ke 'nurseri' dan tadika memakan masa dalam 15 minit juga. Meneruskan lagi perjalanan ke SK memakan masa 10 minit. Dari SK ke tempat kerja memakan masa 30 hingga 40 minit bergantung kepada keadaan trafik. Itu cerita di pagi hari...

Pagi ini (Ahad) sempat juga menonton Astro Al-Hijrah, satu saluran baharu yang bercorak kerohanian dan dakwah. Alhamdulillah. Dalam kelas ibadat (kalau saya tidak sila) pagi ini membicarakan berkaitan iktikad dan keislaman. Dalam satu 'klips' yang dipertontonkan, saya sedikit keliru kenapa satu 'babak' luar negara berkaitan 'pengislaman' dipertontonkan. Pada saya kesimpulannya ialah lafaz pengislaman itu menggunakan 3 kalimah syahadah iaitu syahadat tiada tuhan selain Allah, syahadah nabi Muhamad pesuruh/rasul Allah, dan tambahan syahadah saidatina Aisyah...

Setahu saya hanya 2 kalimah syahadah iaitu persaksian kita (muslim) bahawa tiada tuhan yang disembah selain Allah, dan persaksian bahawa nabi Muhamad adalah pesuruh/rasul Allah. Sepatutnya situasi yang agak mengelirukan ini tidak ditayangkan kepada kita di Malaysia yang berpegang dengan Mazhab Assyafie. Dan sesungguhnya ke empat-empat mazhab juga tidak mengajar 3 kalimah syahadah. Dan kalau mahu ditayangkan juga, perlulah diberi penerangan agar penonton 'jelas' dengan apa yang diperlihatkan itu.

Sekadar perkongsian dan mengharapkan pandangan balas dari rakan-rakan yang lebih arif dalam hal ini.

Powered by Blogger