Bil 90/2012 Lakukanlah Kebaikan

Assalamualaikum.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulallah s.a.w. bersabda (yang bermaksud): Allah berfirman: Jika hambaKu berbicara (niat) untuk melakukan kebaikan, maka Aku akan menulis untuknya satu kebaikan selagi belum melakukannya. Jika dia melakukannya, maka Aku mencatatkan dengan 10 kali ganda. Jika dia berniat untuk melakukan keburukan, maka Aku mengampuninya selagi dia belum melakukannya. Jika dia melakukannya, maka Aku akan menulis untuknya semisalnya (sama banyak).
Rasulallah s.a.w. bersabda lagi: Para malaikat berkata: Wahai Tuhanku, hambaMu ini berniat melakukan keburukan, padahal Dia lebih mengetahuinya. Allah berfirman; lihatlah, jika dia melakukannya, maka catatlah keburukan itu untuknya dengan yang semisalnya. Jika dia meninggalkannya, maka tulislah untuknya satu kebaikan. Ia hanyalah meninggalkannya kerana takut kepadaKu.
(Riwayat Muslim).

Admin P@P

Bil 89/2012: Puji


Assalamualaikum.


Memberi pujian atau memuji merupakan satu perbuatan yang amat mudah. Walaupun mudah, tidak semua orang mampu melakukannya.  Bahkan dalam keadaan tertentu di mana kita mempunyai peluang untuk mengeluarkan kata-kata pujian, sebaliknya kita lebih memilih untuk menggunakan kata-kata negatif, seperti cemuhan dan sindiran.   

Saya juga mempunyai pengalaman bagi menyokong bahawa dalam keadaan tertentu, manusia kerana egonya yang melampau-lampau suka mempertikaikan kebaikan orang lain dan mencemuh, berbanding memberi pujian. Dalam satu mesyuarat staf, pernah pengerusi  mempersoalkan, apakah kalau tidak dipuji maka kamu semua tidak dapat melakukannya dengan baik? Apakah perlu sangat  bagi kamu untuk dipuji?  Rata-rata staf yang menghadiri mesyuarat pada hari tersebut hilang ‘mood’ dan tidak bermotivasi akibat serangan kata-kata ego  sang pengerusi.

Pujian amat bermakna bagi setiap seorang dari kita. Pujian boleh memotivasikan. Pujian boleh menaikkan semangat bekerja dengan lebih tinggi lagi. Pujian boleh menghasilkan kejayaan kepada kita. Saya masih ingat, apabila menjemput anak dari sekolah, saya bertanyakan anak kecil ini, apakah ada gurunya di sekolah yang memujinya hari tersebut? Maka dengan gembira yang melonjak-lonjak si kecil ini menceritakan  bahawa gurunya telah memujinya satu kali pada hari tersebut. Baru satu kali puji, anak kecil ini telah menjadi lebih yakin dan bersemangat.

Ibu bapa yang selalu mengeluarkan kata-kata negatif kepada anak-anak, akan membuatkan anak-anak berfikiran negatif. Guru yang kedekut memberi kata-kata motivasi dan pujian, hanya akan melahirkan murid/pelajar yang pasif dan lembab. Oleh itu bukalah mata, bukalah minda. Berilah pujian kepada mereka yang kita sayangi dan sukai, atau mereka yang melakukan sesuatu yang boleh menyukakan hati kita. TQ

Admin P@P

Bil 88/2012: Mahal


Assalamualaikum.

Nampaknya musim ‘tengkujuh’ masih lagi berlegar. Hujan turun hampir setiap hari dengan pelbagai  penampilan, dari yang  lembut iaitu hanya renyai-renyai, sehinggalah kepada yang  agak ganas iaitu hujan lebat sepanjang hari. Alhamdulillah nampaknya tiada kawasan yang dilimpahi air atau mengalami banjir setakat ini. Agaknya musim banjir dan musim hujan adalah situasi yang berbeza. Hujan kali ini lebih sinonim dengan Tahun Baharu Cina. Tepat sebagaimana yang dikhabarkan oleh orang tua saya  (zaman kanak-kanak saya), dan mereka yang lain yang telah lanjut usia di kampung, bahawa selain musim tengkujuh, hujan yang luarbiasa lebat dan banyak akan dialami pada Krismas dan Tahun Baharu Cina.

Ekoran dari hujan yang lebat, sudah tentu nelayan akan menghadapi masalah untuk ke laut, dan natijahnya, harga ikan akan melambung tinggi. Dan yang pasti, ikan-ikan tersebut adalah ikan sejuk beku… 

Satu berita dari suratkhabar tempatan yang menarik perhatian saya pada Sabtu lepas (21.1.2012) ialah mengenai harga ikan air tawar tempatan yang melambung tinggi kerana permintaan yang juga tinggi, sempena TBC. Selain itu ikan yang dikatagori sebagai eksotik itu juga sudah amat berkurangan dan susah untuk diperolehi.

Renung-renungkan harga ikan ini:

Ikan empurau is now being sold for RM700 per kg compared to RM550 last year, while the price of ikan tengadak has risen to RM370 per kg from RM250 last year.

The price of other local fish such as ikan semah (RM150 per kg from RM110), ikan menggalan (RM150 per kg from RM 80), ikan padi (RM120 per kg from RM55), ikan lajung (RM70 per kg from RM50), ikan patin and ikan tapah (RM40 to RM45 per kg from RM35) have also risen.

Ada juga saya terfikir, bila agaknya saya berpeluang untuk makan ikan yang  berharga sehingga RM700.00 sekilo. Agaknya boleh kenyang sehingga berhari-hari…  Hanya mereka yang berwang (beruang) sahaja  yang  mengetahui keistimewaan dan keenakan ikan mahal ini.

Teringin.
Admin P@P

Bil 87/2012

Assalamualaikum.

Salam ukhuwwah buat rakan ‘bloggers’ sekalian. Sudah lama juga laman P@P tidak dikemaskinikan. Bulan Januari 2012 pun sudah hampir separuh berlalu. Selepas minggu depan akan ada lagi cuti umum sempena Tahun Baharu Cina. Pelajar-pelajar bukan dari keturunan cina juga turut sama-sama merasai keseronokan bercuti, dan mungkin cuti akan ditambah dengan ‘cuti berganti’.

Ada lagi perkara yang lebih menyeronokkan rakan saya semasa ‘sembang pagi’ hari ini. Gaji bulan Januari 2012 akan diterima dua kali iaitu pada 16 dan 31 haribulan. Lebih seronok lagi kalau ‘adjustment’ terhadap gaji itu dilakukan secara ‘merge’, maka kenaikan gaji setelah beralih kepada SBPA amat berbaloi. Itu kata mereka. Tapi gaji bukanlah segala-galanya. Kenaikan gaji merupakan ‘bonus’. Kenaikan umpama ‘durian runtuh’ juga ‘bonus’. Yang penting gaji yang masuk ke dalam akaun pada setiap bulan adalah gaji yang bersih dan halal. Maksudnya pekerjaan kita itu dilaksanakan dengan penuh ikhlas dan konsisten, tiada unsur ‘curi tulang’ sehingga timbul terminologi ‘makan gaji buta’.

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang lagi nyata bagi kamu” (al-Baqarah: 168).

“Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepada Allah yang kepadaNya sahajalah kamu beriman”. (al-Maidah: 88)

Bagaimana mahu melaksanakan tugas supaya konsisten dan bersemangat. Salah satu ‘tip’ yang saya kutip dari rancangan agama di TV ialah dengan kita meletakkan sasaran. (Sasaran bukanlah sekadar azam baharu di tahun baharu, kerana bila tiba hujung tahun, maka azam yang sama akan di’panjangkan’ ke tahun berikutnya). Sekurang-kurangnya apabila ada sasaran, maka kita akan konsisten dalam usaha kita untuk mencapai matlamat dan insyaAllah akan timbul rasa seronok bekerja. Apabila seronok bekerja, maka ikhlas akan datang dengan sendirinya. Di sini nanti barulah ada rasa seronok setiap kali ‘cucuk dinding’ dan persoalan angka gaji tidak menjadi perkara utama. Kadang-kadang ada orang yang angkanya jauh lebih besar dari kita, selepas dua minggu tarikh gaji, sudah sesak nafas. Barakah memainkan peranannya di sini. Untuk itu bekerjalah dengan jujur dan amanah, ditambah dengan niat yang betul.

Selamat Tahun Baharu 2012.
Admin P@P.

Powered by Blogger