Bil 76/2011 Sikap dan Kebiasaan

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Kalau nampak anak bulan, maka umat Islam akan merayakan Aidil Fitri esok. Kalau tak nampak pun, jika kiraan hisabnya mencukupi, maka esok tetap raya. Graf jumlah jamaah untuk solat tarawikh malam tadi ada sedikit peningkatan, sebagai tanda mencari barakah terakhir Ramadhan masih diteruskan.

Dalam pemanduan 'balik kampung' dua hari lepas, saya nak kongsikan tentang sikap pemandu kita. Sebenarnya tak kira sama ada musim perayaan atau ketika 'tiada musim', sikap pemandu tidak jauh bezanya. Bagi yang 'bawa' kereta besar dan canggih serta laju, takkan nak bawa hanya 80 kmj. Kalau nak bawa 80 kmj, elok bawa 'kancil' sahaja. Dan saya secara peribadi sebenarnya tidak yakin bahawa dengan mengurangkan had laju di musim perayaan ini akan mengurangkan kejadian 'yang tidak diingini' dari berlaku. Kerana yang paling utama ialah sikap dan tanggungjawab. Walau di tambah kelajuan sekalipun, kalau sikap yang baik dan berhati-hati serta bertimbang rasa diamalkan, insyaAllah semuanya akan selamat.

Perjalanan 'balik kampung' saya dan pengguna jalanraya yang lain sedikit  terganggu dengan sikap beberapa pemandu yang memandu dengan 'cukup berhati-hati'.  Bayang anda terpaksa mengekori sebuah kereta yang 'sihat wal-afiat' dengan kelajuan di bawah 60 kmj di jalan yang lurus dan anda tiada peluang untuk 'memotong' kerana ada kenderaan dari hadapan. Bahkan sesekali ada peluang dan kereta tersebut pula dipandu dengan begitu cermat dengan roda kanan berada 'betul-betul' di atas garisan tengan jalan...

Selain dari kereta yang terlalu cermat, ada juga kereta yang mengharapkan 'kita menjaga' keselamatan mereka dengan memotong sesuka hati, tak kira di selekoh atau ada kenderaan dari arah bertentangan. Kalau nak kira 'nak cepat', semua orang nak cepat, tapi kenalah berhati-hati dan bertimbang rasa.

Perjalanan juga terganggu apabila dengan tiba-tiba ada sampah 'jatuh' dari kereta di hadapan. Lebih menyakitkan hati apabila pontong rokok juga 'jatuh' dari tingkap dan melantun di jalanraya. Sudah tentu pemandunya bukan muslim, atau juga muslim yang 'tidak larat' berpuasa. Dengan berat hati perjalanan diteruskan tanpa 'membrek' kerana bimbang di'sodok' dari belakang. Bimbang juga kerana 'takut' pontong rokok yang masih 'hidup' itu melantun dan melekat di bawah bonet dan akan mendatangkan 'kesusahan'.

Perjalan balik saya dan keluarga juga di'hidangkan' dengan 'kejadian depan mata' apabila sebuah lori 10 tayar cuba memotong sebuah lori lain lain dan akhirnya terpaksa 'membrek' dan menghala ke dalam longkang. Kejadian berlaku kurang 100 meter di hadapan. Alhamdulillah hanya lori itu sahaja yang terlibat. Seterusnya kami juga melalui  sebuah 'viva' yang melintang di seberang parit dengan penumpangnya menunggu bantuan ditepi jalan.

Semoga Allah menyelamatkan kita dari kejadian buruk sebegini. PANDU CERMAT JIWA SELAMAT. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin dari saya sekeluarga.

Bil 75/2011 Berapa Hari Boleh Raya?

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Sejak beberapa hari ini anak bongsu saya sering mengulangi soalan tentang barapa hari dia boleh 'beraya'. Katanya dia mendapat pujian dari cikgu di TASKI kerana dah melaksanakan puasa selama 2 hari. Setengah hari darab empat kali, bersamaan dengan 2 hari. Bila diberitahu boleh 'beraya' dua hari, dia begitu gembira sekali, sebaliknya bila di'sakat' oleh si kakak bahawa puasanya tidak dikira atau tidak sah, dia akan marah dan menangis.

Bukan setakat tanya berapa hari dia boleh beraya, tetapi semua ahli keluarganya ditanya, berapa hari mereka akan beraya nanti. Apa agaknya yang bermain di minda anak kecil ini. Apa yang pasti dia begitu teruja menantikan hari yang 'meriah' ini.

Bagi kita yang dewasa dan memahami tanggungjawab sebagai umat Islam, sudah tentu akan ada rasa pilu dan sedih mengingatkan Ramadhan yang akan berlalu meninggalkan kita dalam beberapa hari sahaja lagi. Dan dalam 10 hari terakhir kita sepatutnya 'berlumba-lumba' untuk mendapatkan yang terbaik dan bermohon agar mendapat LailatulQadr, malam yang lebih baik dari seribu bulan. Subhanallah. Dalam masa yang sama kita tidak ditegah dari membuat persiapan menjelang hari lebaran, asalkan tiada pembaziran atau perbelanjaan ke atas perkara yang tidak diperlukan. Dan dalam masa yang sama janganlah sehingga lalai dengan kewajipan kita beribadah kepada Allah, walaupun hanya solat sunat tarawikh. Apatah lagi solat sunat tarawikh ini hanya ada dalam bulan Ramadhan, dan belum tentu kita akan bersua kembali dengan Ramadhan berikutnya.

Salam Ramadhan dan Salam AidilFitri buat anda semua.
Maaf dipohon terhadap sebarang kesilapan dan tulisan yang menyinggung perasaan.

Bil 74/2011 Ramadhan dan Merdeka

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

  • Selamat berpuasa Ramadhan buat semua umat Islam. Moga puasa kita terpelihara dari sebarang kecacatan, dan "objektif"nya sudah tentulah ganjaran yang sempurna. Sejak Isnin yang lepas, boleh dikatakan setiap pagi hujan turun, mengiringi perjalanan ke tempat kerja. Hujan rahmat, begitu kata-kata sebahagian rakan. Ini kerana sejak awal Ramadhan cuaca amat panas, dari pagi sehingga petang.
  • Sejak dua hari lepas juga telah mula berkumandang lagu-lagu 'raya', walaupun tidaklah begitu kerap. Tetapi ia cukup memberikan 'suasana' kepada hari lebaran yang bakal menjelma kurang dari 2 minggu lagi. Tapi kalau difikirkan semula, masih terlalu awal nak memikirkan tentang hari raya dan lagu raya, kerana baki hari-hari yang tinggal ini perlu digunakan secara 'serius' untuk merebut segala ganjaran yang Allah janjikan.
  • Seawal 4 Ramadhan tahun ini pula kita telah di'kejut'kan dengan berita remaja putus tiga jari kerana mercun. Remaja berusia 19 tahun! Terfikir pula ketika Tahun Baharu Cina, tiada berita berkenaan putus jari dan seumpamanya akibat mercun.
  • Dalam pemanduan pagi ini, saya dapat melihat dan mengenalpasti 3 jalur gemilang 'terkulai' dan cedera parah di jalanraya. Teringat kata-kata Menteri Penerangan dalam radio kelmarin bahawa pada tahun ini kementerian tidak menggalakkan mengibar Jalur Gemilang pada kenderaan, kerana banyak yang tercabut jatuh, dan digilis tayar. Satu penghinaan kepada JG. Kebetulan saya sendiri juga belum mengibar JG pada kereta. Terus dibatalkan. Sememangnya JG untuk kereka tidak berkualiti dari segi benderanya dan pelekatnya walaupun harganya amat murah. Hanya RM1.20 sahaja. Rakan-rakan kata ia 'made in china' agaknya. 
  • Tiga hari lepas, bonus separuh gaji  (sempena AidilFitri?) dah masuk akaun. Baharu separuh gaji, diulang umum dalam radio, tv dan media cetak, berulang kali dan berulang hari. Tak pasal-pasal harga barangan naik. Rakan di Bank Rakyat terima 8 bulan gaji sebagai bonus, senyap saja. Hanya mereka yang tahu dan tak heboh pun.
Semoga terus tabah dan bersemangat meneruskan kerjaya dan kehidupan. Salam Ramadhan.

Bil 73/2011 Cikgu Marah?

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Sedar tak sedar hari ini dah masuk 13 hari Ramadhan. Bilangan jamaah untuk turut bertarawikh juga sudah mulai menunjukkan kekusutan. Malam tadi si-bongsu janji lagi, nak ikut abahnya ke masjid berhampiran untuk sama-sama meriahkan masjid, kerana dia masih lagi 'main-main' ketika solat. Masih lagi di 'tadika'. 

Minggu lepas dia mengadu kepada abahnya: 
Abah, tadi cikgu marahkan Ieesyah.
Kenapa tu?
Cikgu kata Ieesyah main-main masa kat masjid malam tadi.
Ya ke? Cikgu kata apa?
Tak tahu!
Tadi kata cikgu marah, macam mana tahu cikgu marah?
Cikgu cakap tak boleh main-main dan lari dalam masjid.
Ieesyah nampak cikgu ke?
Tak nampak. Mungkin cikgu nampak Ieesyah.
Cikgu marah macam mana?
Cikgu pegang kepala Ieesyah.
Cikgu ketuk kepala ke?
Cikgu gosok kepala Ieesyah.
Itu bukan marah. Itu tandanya cikgu suka Ieesyah pergi masjid. Cikgu banggalah tu.
Tapi cikgu kata Ieesyah bising.
Lain kali kalau ikut abah ke masjid, Ieesyah jangan buat bising.
Tapi Ieesyah ikut kawan...

Itu antara dialog antara abah dan si-bongsu. 
Tarawikh malam pertama pun kakaknya dan 'komplen' yang si-bongsu ni tak boleh dikawal dan tak boleh duduk diam. Berjalan dan berlari ke sana sini. Tapi tak adalah mengganggu kakaknya secara langsung.

Pada saya keriuhan dan 'keceriaan' kanak-kanak yang mengiringi ibubapa ke masjid merupakan perkara biasa, dan bukanlah isu besar. Apa yang penting ialah kesediaan mereka untuk turut serta dan ini insyaAllah dapat 'menjinakkan' hati mereka untuk mendekati masjid. Walaubagaimanapun, ibubapa kenalah sentiasa nasihati anak-anak kecil ini agar 'berkelakuan' baik dan juga turut sama bersolat.

Salam Ramadhan.


Bil 72/2011 Ganjaran Puasa Ramadhan

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.

SELAMAT BERPUASA. SEMOGA MENDAPAT REDHA ALLAH.

Bil 71/2011 Bazar Ramadhan

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.


Semalam saya berkesempatan 'melawat' bazar Ramadhan bersama keluarga. Nampaknya dari setahun ke setahun, bazar Ramadhan semakin meriah dan semakin ramai yang mengambil kesempatan menambah rezeki dengan berniaga sambilan. Ini bersesuaian mafhum hadis (bukan hadis sahih) yang menyebut bahawa 9/10 dari rezeki datangnya dari perniagaan.

Powered by Blogger