Bil 62/2011 Bicara Tentang Taat

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Mutaakhir ini isu berkaitan taat dan ketaatan yang menjadi perbualan dan perdebatan ialah ketaatan seorang isteri terhadap suami. Bahkan 'kita' juga sering mendengar ungkapan bahawa "syurga isteri itu ditelapak kaki suami", selain "syurga di telapak kaki ibu" bagi seorang anak.

Isu yang timbul apabila seseorang mengeluarkan kenyataan bahawa seorang isteri hendaklah memberi layanan kelas pertama kepada suami. Tetapi apa yang dimusykilkan ialah seolah-olah kehidupan berpasangan itu tidak lain hanya "kepuasan seks" semata-mata, apabila disarankan seorang isteri melayan nafsu seks suami sebagaimana perlakuan seorang atau mungkin juga beberapa orang pelacur kelas atasan melayan seorang atau beberapa orang lelaki.

Lebih musykil lagi apabila dikatakan bahawa layanan kelas pertama ala-ala pelacur kelas atasan ini perlu dipraktiskan kerana dibimbangi para suami akan beralih arah atau bertukar angin memuaskan nafsu dengan perempuan simpanan, main 'kayu tiga' atau mencari pelacur (kelas atasan).

Terbayang dalam minda saya bahawa para lelaki dan para suami di bumi negara Islam sederhana Malaysia ini, begitu goyah iman mereka. Masakan tidak, hanya kerana layanan nafsu seks yang mungkin gagal mencapai piawai pelacur kelas atasan, maka mereka sanggup 'makan luar' dan mendekati maksiat. 'Tolol' sangatkah para suami ini tadi. Atau 'hebat' sangatkah mereka sehingga sanggup berbuat dosa besar semata-mata kerana nafsu seks.

Kehidupan yang bahagia secara teorinya ialah dengan menunaikan segala tanggungjawab masing-masing, baik isteri mahupun suami, dengan sebaik-baik dan seadanya. Selain itu kehidupan hendaklah dipandu oleh iman, berdasarkan al-quran dan hadis nabi. Taati Allah dan Rasul saw, wujudkan ketaqwaan dan keimanan, insyaAllah bahagia di dunia, bahagia juga di akhirat. Mafhum ayat al-quran ada menyatakan bahawa 'mereka' yang paling mulia di sisi Allah adalah sesiapa yang paling bertaqwa kepadaNya. Tiada pernyataan sama ada dalam al-quran atau dalam hadis nabi, bahawa yang paling mulia itu adalah yang kuat nafsu seks, atau paling pandai melayan nafsu seks...

Sekadar pandangan.

Bil 61/2011 Bicara Hari Bapa

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Ucapan Selamat Hari Bapa untuk semua bapa dan bakal bapa sekalian.

Sebenarnya saya sendiri juga tidak perihatin tentang Hari Bapa pada hari ini. Maklumat ini sampai ketika menonton TV sebentar tadi dan juga disebut dan diiklankan oleh DJ Radio Sarawak FM.

Memang ada 'pro' dan 'kontra' berkaitan meraikan hari-hari tertentu yang tidak disyariatkan dalam Islam ini. Ada yang setuju dan ada juga pandangan yang 'rigid' menyatakan bahawa ia perlu di'jauhi' kerana dibimbangi boleh membawa kepada 'khurafat'. Lagi pun menurut pandangan ini, bila-bila masa dan ketika kita boleh menghargai jasa dan pengorbanan seorang bapa, sama juga keadaannya dengan hari ibu.

Pada pandangan saya, sesuai dengan kesibukan yang tiada noktahnya, maka kesempatan seperti ini boleh 'mencipta' ruang bagi kita dan mereka yang mempunyai bapa, untuk menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada para bapa sekalian. Yang pasti kita perlu hindari segala perkara yang syubhah dan yang boleh menimbulkan fitnah, dan jangan jadikan ia sesuatu yang amat 'serius' dan 'mesti'.

Salam ceria buat semua. Wassalam.

Bil 60/2011 Bicara Tentang Marah


Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Sifat marah adalah satu sifat mazmumah, yakni sifat tercela yang sewajarnya kita usahakan untuk dijauhi. Saya yakin semua kita tahu dan faham bahawa sifat marah tidak mendatangkan faedah atau keuntungan kepada sesiapa pun. Pun begitu ‘kita’ masih lagi suka atau terlanjur marah dalam kehidupan seharian.

Hanya kerana seorang murid yang tidak menyiapkan kerja rumah yang diberikan, seorang  guru mungkin boleh hilang ‘selera’ untuk  berkongsi ilmu,  sebaliknya menghabiskan masa yang diamanahkan itu untuk mengutuk, mengungkit atau menghina murid tadi. Itulah marah. Tidak cukup dengan  bukti lisan, sering juga kita terbaca di akhbar atau tertonton di TV3, nafsu amarah yang membawa kepada kecederaan dan ‘fobia’ dalam kalangan murid, di mana ‘guru’ ini sanggup meroton, sepak terajang  atau memukul dengan pembaris, selain membiarkan murid ini berdiri atas kerusi. PERISTIWA YANG HANYA BERLAKU SATU DALAM BANYAK RIBU, tetapi itulah yang nampak dan kelihatan di mata masyarakat. KERANA NILA SETITIK.... atau SEEKOR KERBAU...

Walaupun kita  bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita. Maka begitulah  juga orang lain. Tegurlah  dengan lemah lembut dan kasih sayang.

Maksud firman Allah dalam surah Ali Imran:
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa (ayat 133) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik (ayat 134).


Bil 59/2011 Bicara Kereta

Assalamualaikum.
Salam sejahtera.


Teringat kepada pandangan seorang panel dalam rancangan berbentuk 'bicara agama', dalam tv, suatu ketika. Kalau ada rezeki lebih maka tidak salah bagi seseorang muslim itu memiliki dan seterusnya menggunakan kereta yang 'mewah' atau 'agak mewah'  untuk tujuan yang baik. Lebih-lebih lagi kalau digunakan untuk ke masjid atau surau, bukan untuk bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk.

Tetapi kalau 'kemampuan' itu belum sampai tahap, maka lebih elok menggunakan apa jua kenderaan yang sesuai dan mampu milik, kerana dibimbangi nanti akan menjadi beban yang mana secara tidak langsung pula akan menjadikan 'kita' jauh dari masjid atau surau. Apatah lagi dalam keadaan mutaakhir ini, harga barang-barang keperluan semuanya naik. 

Baru-baru ini apabila lori pengangkut barang tidak lagi menikmati harga minyak diesel subsidi, rata-rata harga barang-barang telah naik sehingga 10 peratus (di tempat saya). Mutaakhir ini juga boleh dirasakan harga barang-barang keperluan meningkat setiap bulan. Walaupun harga hanya naik 10 sen atau 20 sen, tetapi impaknya amat besar. Saya tidak menafikan yang gaji saya juga naik setiap tahun, tetapi kenaikan tahunan itu seperti tidak berupaya menampung kenaikan harga barangan yang berlaku setiap bulan...

Berbalik kepada bab kereta. Nampaknya 'kelahiran' model kereta baharu sekarang ini semakin 'menjadi-jadi'. Bukan sahaja model luar negara, bahkan model buatan Malaysia seperti Proton dan Perodua juga tidak ketinggalan. Proton Saga yang dulunya hanya berkuasa 1.3, dalam beberapa hari yang lepas telah dinaiktaraf kepada 1.6 dengan harga mampu milik iaitu sekitar 48K sahaja. Dan khabarnya Perodua akan melancarkan MyVi generasi kedua pada minggu depan, dan maklumat berkaitan juga telah banyak dimuatnaik ke laman blog. Harga sekitar 50K sehingga 58K dengan kapasiti enjin 1.3 sahaja.

(MyVi generasi ke dua yang akan dilancarkan)
http://www.arenakereta.com/perodua-myvi-elegance-dengan-warna-ebony-black-dan-mystical-purple/

Orang seperti saya yang 'makan gaji' hanya mampu memasang angan-angan memiliki sama ada Proton atau Perodua sahaja. Itu pun kena fikir sehingga setahun. Bila Inspira dilancarkan pada penghujung tahun 2010 pun saya dah pasang angan-angan. Sekurang-kurangnya 1.8 CVT. Nampaknya sampai ke hari ini masih belum ada 'hitam-putih'nya. 

Walaubagaimanapun, saya 'tumpang' gembira dengan perkembangan rakan-rakan, sejak penghujung tahun 2010 dan yang terakhir sebulan yang lepas, kerana berjaya menukar dan memiliki kereta baharu jenama Honda dan Toyota.  Satu Honda Accord 2.4, satu Honda Civic 2.0, dua Honda Civic 1.8, satu Toyota Estima 3.0, dan satu Toyota Wish 1.8. TAHNIAH buat rakan-rakan semua.

Bil 58/2011 Perihal Mentaati Allah, Rasul dan Pemerintah

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Satu satu daripada aturcara yang telah ditetapkan, selain bacaan Yasin dan doa selamat ialah sesi ceramah agama, sempena meraikan hari keputeraan baginda Yang Dipertuan Agong. Sekadar berkongsi sedikit info dari ceramah tersebut.

Ceramah yang diberikan berkisar/berpandu kepada ayat al-Quran dari surah an-Nisa' ayat 59 iaitu anjuran agar umat Islam mentaati Allah swt, Rasulullah saw.  serta pemimpin. Dalam konteks ini pemimpin yang dimaksudkan ialah Yang Dipertuan Agong Malaysia.

Susah sangatkah kita hendak menunjukkan dan membuktikan ketaatan kepada Allah sebagai Tuhan dan Rab, pentadbir dan pengurus sekalian alam? Habiskah duit dan segala harta benda kita kalau kita taat dan patuh kepada Allah? Matikah kita kalau kita mentaatiNya? 

Persoalan ini ditimbulkan di sini memandangkan umat Islam mutaakhir ini nampak seperti amat susah dan sukar sekali mentaati Allah swt, Tuhan Maha Pencipta, yang mencipta manusia itu sendiri, dari tiada kepada ada. Siapa pun kita, apa kedudukan kita, di manakah kita 100 tahun yang lampau? Sudah tentu jawapannya: Belum ada. Belum dilahirkan. Belum ada 'kedudukan' seperti sekarang. Nah! Siapakah yang 'mewujud'kan kita?

Mentaati Allah bukannya payah dan susah. Paling mudah, kita 'terjemahkan' sahaja Rukun Islam dan Rukun Iman dalam kehidupan seharian. Tak mungkin kita tidak tahu apakah Rukun Islam dan Rukun Iman tersebut. Kita di Malaysia amat bertuah kerana subjek Pendidikan Islam turut diajar di sekolah bermula dari Tahun Satu (saya dulu Darjah Satu) sehingga Tahun Enam, kemudian dari Tingkatan Satu sehinggalah Tingkatan Lima. Tak cukup dengan itu ada pula KAFA dan PAFA dan ada 'ujian' dan lulus.  Tak cukup lagi? Kita ada guru j-QAF yang menggalas tugas yang sama dengan para ustaz ustazah kita.

Berbalik kepada cara mentaati Allah, paling mudah kita mendirikan solat 5 waktu dalam sehari. Allah sendiri menjanjikan bahawa solat itu akan mencegah kita dari melakukan kemungkaran. Jika terelak dari kemungkaran, sudah tentu lebih mudah bagi kita mentaati Allah. Kepelikan yang berlaku ialah walaupun seseorang muslim itu bersolat, dia masih lagi terjebak dengan perkara mungkar dan maksiat. Maksudnya, ada sesuatu yang tidak kena dengan solatnya itu.

Marilah kita sama-sama muhasabah solat kita, sejauhmana kesempurnaannya. Sekadar peerkongsian, semoga ada manfaat.


Powered by Blogger