Hari Raya Korban: Ibadah Korban



Assalamualaikum. Salam Sejahtera.

Pada 10 Zulhijjah setiap tahun, seluruh umat Islam menyambut hari raya Haji atau hari raya Korban. Bagi kita yang tidak berkesempatan untuk ke tanah suci, maka pada hari tersebut kita berhimpun, bertakbir, bertahmid dan menunaikan solat sunat iduladha. Seterusnya pada hari itu juga, umat Islam diperintah dan disunatkan berkorban binatang ternakan sebagai korban untuk disedekahkan dagingnya kepada fakir miskin semata-mata kerana Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

Mafhumnya: " Sesungguhnya pertama-tama amalan yang kita lakukan pada hari ini (iduladha) ialah supaya kita solat kemudian kembali ke rumah lalu kita menyembelih korban, maka barangsiapa yang mengerjakan sedemikian ia telah mengikut sunnahku. Adapun orang yang menyembelih sebelum melakukan solat, maka itu hanyalah merupakan daging yang hendak dipergunakan untuk keluarganya sahaja, tidak termasuk amalan ibadah penyembelihan korban".


Iduladha merupakan hari perayaan yang sangat istimewa dalam syariat Islam. Keistimewaannya ialah kerana mempunyai dua tuntutan ibadah besar yang dilaksanakan secara serentak di seluruh dunia iaitu:

Pertama:  Di tanah suci Mekah dilaksanakan ibadah haji. Pada 9 Zulhijjah berjuta-juta orang Islam menyempurnakan ibadah haji dengan berwukuf di padang Arafah, tawaf di kaabah dan melontar jamrah. Meskipun di padang Arafah matahari panas terik, berjuta manusia dari pelbagai bangsa,bahasa, warna kulit, namun berpakaian yang sama dengan tujuan yang sama iaitu mengabdikan diri kepada Allah SWT. Syiar ibadah haji juga merupakan perhimpunan tahunan yang disyariatkan oleh Allah dalam bentuk yang amat berkesan iaitu mengikatkan kesatuan dan perpaduan melalui pegangan akidah yang satu dan bukannya melalui fahaman bangsa dan material. Inilah asas perpaduan yang dipraktikan oleh Nabi SAW yang berjaya menegakkan negara Islam Madinah hanya dalam masa 10 tahun.


Kedua: Seluruh kaum muslimin di segenap ceruk rantau dunia bermula hari Arafah hingga tamat hari Tasyrik mengumandangkan gema takbir, tahlil dan tahmid dengan suara yang penuh keyakinan mengisytiharkan pengakuan bahawa hanya Allah Azza wa Jalla sebagai yang perlu disembah, dipatuhi dan ditakuti. Pengajarannya kepada kita ialah supaya seluruh kehidupan, setiap perjuangan dan segenap pekerjaan yang dilakukan mestilah atas dasar penyerahan diri kepada Allah Azza wa Jalla.

Pengabdian diri kepada Allah mestilah diterjemahkan melalui pelaksanaan syariat Allah yang terkandung dalam al-Qur'an dan as-Sunnah. Perlu kita insafi bahawa timbulnya pelbagai isu dan permasalahan sosial dalam masyarakat adalah kerana belum menyeluruhnya penghayatan kita kepada tuntutan-tuntutan syarak. Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 85:

Maksudnya: "Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain?. Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu selain dari kehinaan ketika hidup di dunia; dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat, dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan."


Iduladha dengan pensyariatan ibadah korban adalah isyarat yang jelas daripada Allah mengenai keperluan berkorban tenaga, masa dan harta benda demi agama Allah SWT. Tanpa pengorbanan agama, fikiran dan harta benda, tidak mungkin syariat Allah SWT dapat ditegakkan.

Renungkanlah sejarah pengorbanan agong Nabi Ibrahim AS yang sanggup menyembelih Nabi Ismail AS, satu-satunya anak kesayangan baginda semata-mata pengorbanan kepada Allah SWT. Inilah satu contoh seorang bapa yang berjaya membina sebuah keluarga yang cemerlang. Demikian juga, kepatuhan Hajar kepada suaminya Nabi Ibrahim untuk tinggal keseorangan di tanah gersang Mekah, merupakan model isteri mithali yang sanggup mengorbankan jiwa raga semata-mata kepatuhan kepada perintah Allah dan Nabi-Nya.

Demikian juga kerelaan seorang anak iaitu Nabi Ismail AS untuk disembelih oleh bapanya, semata-mata kerana perintah Allah adalah merupakan isyarat bahawa berkorban sebenarnya tidak melihat kepada usia. Ini bermakna samada golongan tua, dewasa, belia, lelaki dan wanita, perlu bersedia untuk berkorban apa sahaja demi tertegaknya akidah tauhid dan terlaksananya syariat Allah SWT.
Firman Allah SWT dalam surah As-Saafaat ayat 103-107:

Maksudnya: "Setelah keduanya berserah diri, dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. Serta Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi itu. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya nama yang harum dalam kalangan orang yang datang kemudian."


Semoga semangat pengorbanan Nabi Ibrahim A.S yang suci, Nabi Ismail A.S yang berani dan bondanya Hajar yang begitu tabah hati, mampu menyuntik semangat korban dalam diri kita semua. Wassalam.

8 Response to "Hari Raya Korban: Ibadah Korban"

  1. Selamat hari raya Eidul Adha...
    Sama-sama kita menghayati pengertian korban...

    Mohamad says:

    Salam Lai,
    Selamat Menyambut Hari Raya Korban, semoga persahabatan berkekalan..

    Abd Razak says:

    Assalamualaikum...

    Selamat Hari Raya Eidul Adha..
    Maaf mun ada kekasaran kamek lakukan..

    Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidak ada hari yang lebih banyak pembebasan dari neraka daripada hari Arafah."

    hentian says:

    hidup memang menuntut pengorbanan yang bukan sikit. dan pengorbanan tidak semudah a b c..

    salam ziarah..semoga kita ambil iktibar hasil kisah dari nabi2 terdahulu

    salam 'iduladha.

    moga kita mendapat pengajaran dari kisah nabi Ibrahim Alaihissalam

    ibuintan says:

    salam ziarah,

    lambat nyusul sebab hati kurang aman minggu ni..


    pengorbanan Nabi Ibrahim yang perlu kita ambil pengajaran dan iktibar

    Admin P@P says:

    Assalamualaikum buat semua sahabat.
    Terima kasih atas sokongan kalian.

    Salam Aidiladha.
    Semoga ceria di samping tugas seharian.

    TQ

Powered by Blogger