Benarkah Kita Mencintai Rasulullah saw.?
Assalamualaikum. Salam Sejahtera.
Persoalan sama ada kita benar-benar mencintai Rasulullah saw sepatutnya sentiasa berlegar dalam pemikiran kita. Dengan ini kita akan sentiasa berusaha melaksanakan segala perintah dan larangan agama melalui pelaksanaan dan amalan wahyu yang beliau telah sampaikan. Sering juga umat Islam mengaku mencintai Rasulaullah saw, tetapi dalam masa yang sama gagal menunaikan kewajiban sebagai seorang muslim mukmin, sebagaimana yang telah digariskan oleh baginda. Daripada cara pemakaian pakaian yang tidak mengikut garis panduan syarak sehinggalah kepada penunaian kewajiban menyembah Allah sebagai Tuhan sekalian alam, umat Islam sering tersasar dan leka.
12 Rabiul Awal setiap Tahun Hijrah, adalah hari sambutan Maulidur Rasul yang menjadi salah satu hari kebesaran Islam yang disambut meriah di negara ini. Walaupun Nabi Muhammad saw telah meninggalkan kita lebih 1,400 yang lalu, tetapi dengan cinta kasih kita kepada baginda serta sunnah baginda, maka kita merasakan seolah-olah baginda masih hidup berada bersama kita.
Maksud Firman Allah swt di dalam surah at-Taghaabun, ayat 12:
“Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas nyata”.
Berdasarkan maksud ayat ini, Allah swt menegaskan bahawa perintah mentaati Rasulullah saw adalah bererti mentaati Allah swt; dan mengingkari baginda bererti juga mengingkari Allah swt.
Bukti penegasan ‘taat kepada Rasulullah’ ini terdapat di dalam kalimah syahadah. Kalimah ini mensyaratkan bahawa seseorang tidak boleh menganut Islam jika hanya mengaku beriman kepada Allah swt tanpa mengakui kerasulan Nabi Muhammad saw. Ini menggambarkan satu istinbat mutlak bahawa makna mencintai Rasulullah saw adalah dengan mentaati keseluruhan ajaran baginda. Pada masa sama ia membawa kita mencintai Allah swt. Oleh itu, beriman kepada para Rasul Allah adalah wajib dan menjadi tunjang kekuatan akidah Islam. Sesiapa yang mengingkari perintah Rasul bererti dia keluar dari lingkaran keimanan.
Selari dengan ikrar yang kita lafazkan dalam syahadah, maka semua ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah saw hendaklah dipatuhi dan diamalkan. Jika kita mengabaikan pelaksanaan perintah-perintah Allah dan suruhan Rasul-Nya, maka Allah akan jauh daripada kita. Ini bererti iman kita mulai lemah dan kelemahan iman ini memberi ruang kepada musuh Allah dan syaitan mendekati bahkan mempengaruhi kita dalam membuat keputusan.
Oleh itu, tidak menghairankan ada di kalangan umat Islam yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, tetapi pada masa sama telah mentafsir Islam mengikut hawa nafsu. Mereka sanggup melakukan tindak-tanduk mengikut kemahuan sendiri dan akhirnya perbuatan tersebut kelihatan janggal, pelik di khalayak ramai. Besarnya pengaruh nafsu dan peranan syaitan dalam kehidupan ini terbukti apabila mereka tanpa segan silu mengutamakan kepentingan diri, mengutamakan kebendaan walaupun nyata bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.
Para sahabat dalam membuktikan kecintaan mereka kepada Rasulullah dan sunnahnya telah sanggup berkorban nyawa, rela kehilangan harta kekayaan, anak-anak, ibubapa dan status diri, demi mempertahankan perjuangan suci bersama Rasulullah. Nama-nama besar seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar al-Khattab, Saidina Ali dan ramai lagi para syuhada’ dan golongan solihin baik lelaki dan wanita telah membuktikan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah saw.
(diadun semula dari petikan khutbah JAKIM)
Salam Maulidurrasul.
Assalamualaikum Cikgu Lai
Moga kita mencitai Nabi Muhammad saw seperti para sahabat mencintai baginda
Insyaallah
Wassalam
Assalamualaikum...
Kita bukan setakat mahu 'mencintai' Rasul ketika hari Sambutan Maulidur Rasul sahaja, bahkan cinta kita kepada baginda bertambah-tambah setiap hari dan bertambah pula amalan dan kefahaman kita dengan Islam.
Tanda kita mencintai Rasul apabila kita mengambil ISLAM dalam segenap kehidupan kita. Apabila kita hidup berpaksikan kepada mengambil apa yang Allah suruh, dan tinggalkan apa yang Allah larang, maka barulah layak untuk kita ini digelar sebagai orang yang berusaha mencintai Rasul s.a.w.
Salam maulidurrasul..Admin
بسم الله الرحمن الرحيم
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bersalawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad s.a.w). Wahai orang-orang yang beriman bersalawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan. [Al-Ahzab: 56]
salam maulid cikgu...
sayang nabi,selawat keatas baginda, kita mengharapkan syafaatnya di hari pengadilan kelak...
ramai ngaku sayang nabi, tapi hakikatnye hampeh :(