Bil 83/2011 Aroma

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.
Admin P@P

Bil 82/2011 Anak Bongsu

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Sebaik sahaja 'abah' dan 'mama'nya menjemputnya di 'nurseri' petang 19 September yang lepas, si kecil ini amat girang sekali. Sambil menghulurkan 'jemputan' dari pihak TASKI dan Nurseri untuk menghadiri 'Ramah Tamah Aidil Fitri' pada 24 September, mulutnya tak henti-henti bercerita dengan girang gembira dan tak sabar-sabar untuk menghadiri majlis tersebut.

Abah, Mama, Makcik cakap bawa kuih dan air minuman untuk Hari Raya.
Abah, Mama, bila lagi Hari Raya kat nurseri?
Abah, Mama, malam inikah Hari Raya kat nurseri?

Begitulah soalan yang  diajukan setiap hari, selain bertanya; hari ini hari apa abah, mama?

Saat dan ketika yang ditunggu tiba jua akhirnya. Sebaik keluar dari kereta, bayangan si anak kecil ini sudah hilang dari pandangan. Berlari menerpa ke arah kawan-kawannya dan 'hilang' dalam kesesakan tetamu. Begitu gembiranya si anak kecil ini. Hidupnya dipenuhi keseronokan, dan sentiasa mencari ruang untuk bergembira dan berseronok. 

Ada ketikanya apabila abah dan mamanya tidak dapat menunaikan permintaannya, wajahnya akan bertukar muram dan sugul. Pada sang anak, apa sahaja yang diinginkan pasti akan dipenuhi. Kalau tidak, maka bermulalah episod rajuknya. Dan di sinilah peranan kakak-kakak dan abangnya, memujuk dan menceriakan sang adik. Dan pandailah sang kakak dan sang abangnya menabur janji yang selalunya hanya manis di mulut sahaja. 

Ya Allah, moga anak-anak ini sihat sejahtera, beroleh kejayaan dunia dan akhirat. Amin.

Bil 81/2011 Menteri Pelajaran

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.


Bil 80/2011 Pencapaian DiUtamakan

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.


Rupa-rupanya masih ada lagi pengurus sekolah (Guru Besar) yang lebih mementingkan keputusan keseluruhan/prestasi sekolah daripada murid-muridnya. Demi untuk mengekalkan prestasi keseluruhan yang 'baik' maka tiga pelajar ini telah di'kuarantin' dan di'kunci' dalam bilik khas sementara rakan-rakan mereka yang lain menduduki peperiksaan UPSR minggu ini tadi. Alasan yang 'amat kukuh' yang diberikan ialah kerana murid-murid ini amat lemah dan tidak mungkin dapat lulus dalam UPSR.

Persoalan di sini ialah apakah yang guru-guru telah lakukan untuk membantu murid-murid yang lemah ini. Adakah 'kelemahan' mereka hanya diketahui menjelang UPSR? Memang saya akui kebanyakan murid yang bersekolah adalah kerana mereka tidak pandai, dan ibubapa inginkan mereka jadi pandai. Inilah tugas guru. Kalau semua insan dilahirkan pandai dan secara 'otomatik' menjadi pandai seiring tumbesaran mereka, maka tidak perlu ada profesion keguruan dan tidak perlu ada sekolah.

Saya teringat apa yang berlaku kepada anak ke dua saya semasa di tahun 3, beberapa tahun yang lalu. Anak kecil ini menangis balik ke rumah dan apabila ditanya maka jawapannya dia dimarahi guru kerana jawapan yang salah dalam 'kerja rumah' yang diberikan. Dan yang lebih menyedihkan dia dimarahi dan dilontarkan dengan perkataan BODOH. Lebih menyedihkan apabila saya sebagai bapa juga dikaitkan sama. "Anak .... (pekerjaan bapa) BODOH". Bukan saya mempercayai kata-kata sang anak 100% tanpa syak. Tapi ditanya banyak kali, itulah yang dijawabnya. Wajarkah seorang guru 'menggelarkan' pelajarnya sebagai BODOH?  Kalau ya pun, pelajar ini bodoh, tapi  dia masih boleh dibentuk, itulah tugas guru.

Teringat juga peribahasa yang menyebut 'seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit' dan 'kerana nila setitik, rosak susu sebelanga'. Sebenarnya ramai lagi guru-guru di luar sana yang memberi komitmen yang terbaik dan tertinggi dalam membentuk pelajar kita. Tahniah Cikgu. Rakan-rakan kita yang 'bermasalah' ini hanya dua tiga orang sahaja, tapi masyarakat akan melihat kepada yang dua tiga orang ini sebagai 'kayu ukur'.

Sama-sama memartabatkan profesion keguruan. TQ

Bil 79/2011 Kelapa Nan Hilang

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.


Awal Ramadhan yang lalu sang anak mencadangkan kepada saya untuk memetik buah kelapa muda di luar pagar. Untuk berbuka puasa, begitu anjurnya. Pada dasarnya, pokok kelapa setinggi 4 kaki itu adalah kepunyaan saya sekeluarga kerana saya yang menanamnya. Tapi lokasinya di luar pagar,  di tanah ‘reserve’ jalan kerajaan. Oleh kerana kelapa itu belum cukup ‘remaja’ dan belum ber’isi’, maka saya sabarkan sang anak dan berjanji akan memetiknya dalam masa seminggu lagi.

Nak dijadikan cerita, seminggu kemudian, tandan buah kelapa tersebut masih ‘gah’ dipergantungannya pada ‘sebelah’ pagi. Tiba masa untuk memetik kelapa bersama anak pada sebelah petang, rupa-rupanya ia sudah ‘hilang’. “Itulah abah, abang suruh petik cepat, abah lengah-lengahkan. Sekarang dah hilang!”

Itu kisah setandan kelapa yang menghadap jalanraya. Ada satu tandan lagi yang mengadap rumah saya, dan ia masih ‘belum cukup umur’. Agaknya inilah setandan kelapa yang akan menjadi rezeki kami sekeluarga, bisik hati saya. Ada 5 biji kelapa yang cukup ‘sihat’ dan ‘comel’.  Minggu berikutnya, apabila kami balik dari rumah ‘nenek belah mama’, dan sudah berangan-angan berbuka puasa dengan air kelapa ditanam sendiri, keajaiban yang sama berulang kembali. Tandan kelapa itu juga telah ‘hilang’. Nampaknya sekali lagi saya kena tunaikan hajat sang anak dengan air kelapa dari  bazar ramadhan.






KHASIAT KELAPA [http://www.angelfire.com/ar2/aqifhaikal/kelapa.htm]

Bil 78/2011 Lagi Maut di Syawal

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Pagi ini ada dihebah dalam berita bahawa kemalangan maut membabitkan perjalanan musim raya tahun ini meningkat berbanding tahun lepas. Satu indikator bahawa Ops Sikap tidak mendapat kerjasama yang baik dalam kalangan pemandu kenderaan. Sikap dikatakan sebagai salah satu faktor utama. Nak cepat balik. Nak cepat sampai ke destinasi. Nak memastikan kelajuan kenderaan dikerah sehingga ke maksimum. Semuanya ini adalah andaian semata-mata.

Sebagai umat Islam kita percaya ajal maut adalah ketentuan Ilahi. Tapi kita juga hendaklah memastikan keselamatan nyawa dan berusaha agar tidak mati dalam keadaan yang pilu dan menyayat hati. Jaga keselamatan kita sendiri, jaga juga keselamatan pengguna lain.

Takziah juga diucapkan kepada Encik Khusaini Sulong yang maut dalam kejadian pertembungan dua pacuan empat roda dalam perjalanan ke Bintulu pagi semalam. Beliau adalah pemandu yang membawa dua orang pegawai dari Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Negara di Jabatan Perdana Menteri, yang mengiringi konvoi dua buah kenderaan dari Jabatan Pelajaran Negeri dalam perjalanan menghantar dokumen Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) ke Bintulu.


Beliau memandu Nissan Xtrail dan kenderaan yang 'gagal dikawal' dan masuk ke laluan beliau ialah Toyota Hilux. Saya sendiri dalam beberapa tahun kebelakangan ini juga sering melihat Toyota Hilux yang terlibat kemalangan, sama ada melibatkan kenderaan lain atau kemalangan sendiri. Bahkan dalam perjalan balik dari kampung baru-baru ini, saya juga terserempak dengan Hilux yang 'terlantar' di seberang longkang. Rakan-rakan mengaitkan Hilux dengan ketidakstabilannya kerana bahagian belakangnya yang ringan jika tanpa muatan, terutama apabila melalui selekoh.

Peringatan buat kita semua. Berhati-hati ketika memandu. Berdoalah. Berhemahlah. 'Bismillah' sebelum naik kenderaan dan menghidupkan enjin. InsyaAllah akan dipeliharaNya.

Bil 77/2011 Wira Sebenar

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Berita hangat yang disebarkan di TV malam ini berkaitan kematian seorang wartawan Malaysia yang bertugas dengan BERNAMA iaitu Noramfaizul Mohd. Nor. Perdana Menteri dalam 'berita yang baharu diterima' di TV3 menyifatkannya sebagai wira sebenar Malaysia. Al-Fatihah buat Allahyarham dan takziah buat keluarga beliau. Ajal maut di tangan Tuhan. Kita kena redha dan berserah padaNya, mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat.
Sepanjang minggu ini juga kita dihidangkan dengan kisah 'seorang yang cuba menjadi wira baharu' iaitu Mat Sabu yang dipetik oleh akhbar kebangsaan dan semua saluran TV sebagai seorang yang menyokong aliran komunis dan cuba mengubah sejarah. Beliau juga disebut sebagai mengagung dan menyokong bahkan mengiktiraf komunis sebagai pejuang kemerdekaan dalam ceramah beliau di Pulau Pinang pada bulan lepas.

Dalam beberapa blog yang saya baca dan klip di 'you tube' yang saya saksikan, saya tidak dapat mengesan kenyataan dari Mat Sabu yang menyebut dan mengagungkan 'komunis'. Bukanlah bermaksud saya penyokong Mat Sabu, sekadar berfikir sejenak berkaitan kekeruhan yang berlaku dalam negara kita sempena kemerdekaan ke 54, yang mana ramai juga yang pening dengan keadaan yang berlaku di Aidil Fitri yang mulia ini.

Salam Merdeka buat rakyat Malaysia.
Merdeka Zahir Batin.


Powered by Blogger