Bil 51/2011 Info Hari Guru

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Selamat Menyambut Hari Guru kepada Warga Pendidik seluruh Malaysia.
Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara.

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.
 
 
GURU OH GURU

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

 

OBOR HEMAH

Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
ketika sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara dharma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya,
atas lambungan laut, merangsangkan
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar,
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan,
walau diambilnya kemball semua buku,
sempat ditinggalkan asas ilmu.

Guru adalah batin suci hatinurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.

A. SAMAD SAID
2 APRIL 1988 



GURU MALAYSIA

Kami guru Malaysia
Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin
Putra putri negara kita
Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia
Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua

Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta
Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan

Lagu & Lirik : Hashim Ahmad



Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.
Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.

Bil 50/2011 Aurat: Antara Tutup dan Dedah


Assalamualaikum.
Salam sejahtera.

Dewasa ini seperti sudah menjadi sesuatu yang biasa dan lumrah apabila pasangan/seseorang artis (muslim) melangsungkan perkahwinan dalam suasana mewah dengan tetamu jemputan dari kalangan ‘orang-orang besar’, pak menteri, bahkan ketua negeri dan ketua negara. Semakin popular dan semakin tinggi ‘ranking’ seseorang artis tersebut, maka semakin ‘glamour’lah majlis perkahwinan tersebut. Sudah tentu hantarannya akan ‘terlebih’ mahal, lokasinya hotel-hotel mewah, makanannya ala-ala barat, dan yang lebih penting pakaian pengantin pasangan ini yang mewah dan bercirikan barat, walaupun ada diselitkan pakaian ‘melayu’. Ya. Pakaian melayu yang tidak semestinya bercirikan Islam.

Bila disebut ‘bercirikan Islam’, maka yang paling utama ialah pakaian yang menutup aurat. Tidak pernah berlaku dalam sejarah perkahwinan/persandingan sama ada artis atau orang kenamaan lain, atau juga orang-orang biasa, atau mereka yang bukan Islam (non-muslim) yang ‘menyajikan’ pengantin lelaki dengan pakaian yang mendedahkan aurat. Walaupun fesyennya ala-ala barat, ia tetap menutup aurat. Maksudnya tidak terdedah tubuhnya yang ‘di antara pusat dan lutut’. Atau mengenakan seluar pendek atau ‘boxer’.

Berbeza dengan pengantin perempuan yang biasa dan sentiasa terdedah auratnya, walaupun berpakaian ala-ala melayu. Hanya segelintir kecil sahaja yang sanggup dan bersedia mengenakan pakaian yang pada anggapan mereka sebagai menutup, tetapi dari pandangan syariat masih lagi belum sempurna. Belum sempurna kerana mungkin pakaian tersebut amat sendat dan ketat, atau kain yang nipis dan ‘jarang’, atau tudung yang sekadar melilit hingga ke leher sahaja, membiarkan bentuk dada terlihat jelas, berlawanan dengan apa yang diarahkan Allah dalam al-Quran, contohnya Surah an-Nur ayat 31.

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Dan sudah menjadi satu ‘trend’ yang semakin diminati masa kini, bukan sahaja dalam kalangan artis, bahkan masyarakat Islam secara keseluruhannya, ialah mengadakan majlis ‘akad nikah’ dalam masjid. Walaupun acara akad nikah dalam masjid ini ada pro dan kontra, kita perlu melihat dari sudut yang positif sebagai mengimarahkan dan mempelbagaikan fungsi masjid agar tidak terhad kepada solat semata, selagimana acara tersebut tidak bertentangan dengan hukum syarak. Persoalannya, sejauhmana ia tidak bertentangan dengan hukum syarak, kalau bakal pengantin (perempuan) ini mengenakan pakaian yang tidak sempurna menutup aurat?

Kalau kita masih ingat suatu ketika ‘kita’ bising apabila seorang rakyat Malaysia yang bukan Islam memasuki masjid tanpa menutup aurat, walau masih dikatagorikan sebagai ‘sopan’ dalam norma. Tetapi apabila ia berlaku dalam kalangan umat Islam sendiri, kita seolah-olah menyatakan ia tidak mengapa!? Mengapa perlu ada ‘double standard’. Orang Islam boleh dedah, orang bukan Islam tak boleh dedah!

Dan satu perkara yang tidak kurang penting, bahkan amat penting dan wajib bagi setiap muslim, perlu diingat bahawa MENUTUP AURAT ITU WAJIB BAGI SETIAP MUSLIM PADA SETIAP MASA, bukan hanya untuk berkahwin/bersanding atau menghadiri perbicaraan di Mahkamah Syariah sahaja. Tapi itulah yang berlaku. Maka UBAHlah. Marilah berUBAH. Semoga Allah menerima segala ibadah kita. Amin.
 

Bil 49/2011 Hujan, Kesesakan

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Kebiasaannya setiap hari Isnin, memang akan sedikit kelam kabut. Maklumlah, selepas bercuti Sabtu dan Ahad. Anak-anak pun sedikit liat untuk bangun.

Hari ini hujan amat lebat. Seperti dijangka memang kesesakan pun luar biasa. Masing-masing nak tunjuk bahawa mereka nak cepat. Sebenarnya semua orang nak cepat. Kalau dah semua nak cepat, ikutlah peraturan di jalanraya agar tidak berlaku kesesakan yang lebih teruk lagi.

Satu perkara yang saya perhatikan berkaitan gelagat pemandu di tempat saya, sukar sangat nak beri laluan pada kereta yang hendak keluar dari simpang jalan, walhal di depan mereka semua kereta berhenti dan tak boleh bergerak. Natijahnya kereta yang sepatutnya boleh berlepas dari simpang terpaksa membuang masa tersadai di situ. 

Kemudian di awal pagi yang masih lagi kegelapan, ditambah dengan hujan yang lebat, ada juga pemandu yang sayangkan bateri kereta dan tidak mahu pasang lampu. Kemudian ambil kesempatan pula untuk potong Q, menyebabkan kesesakan yang semakin teruk. Begitu teruknya sikap sebahagian pemandu kita...

Bil 48/2011 Tol: Jambatan Lanang Sibu

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Menjelang pilihanraya Sarawak yang ke 10 pada 16.4.2011, salah satu isu yang menarik minat masyarakat di Sibu ialah 'pemansuhan' tol jambatan Lanang. Tidak dinafikan bahawa bayaran tol bagi melalui jambatan sejauh 1 km dari tebing ke tebing ini 'agak' mahal. Bagi 'mereka' yang berulang alik setiap hari, jika menggunakan kereka, perlu menyediakan RM6. Motosikal pula RM1 (ulang alik). Pilihan lain kalau tidak mahu mengeluarkan RM untuk tol ialah dengan melalui jambatan Durin. Boleh mengelakkan tol, tetapi penggunaan minyak kenderaan boleh jadi lebih mahal dari bayaran tol tersebut, di samping pembaziran masa lebih kurang sejam atau sejam setengah.
SIBU, 7 April (Bernama) -- Kerajaan Sarawak telah mengemukakan cadangan agar kerajaan persekutuan mengambil alih pengurusan Jambatan Lanang di sini dan menghapuskan bayaran tol di jambatan itu, kata Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh. Beliau berkata Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak masih menunggu maklum balas berhubung pengambilalihan jambatan itu daripada kumpulan Shin Yang yang membina dan menguruskan projek itu apabila ia disiapkan pada 2006.

"Ia akan mengambil sedikit masa memandang projek itu membabitkan berjuta-juta ringgit. Saya yakin kami boleh mendapatkan kerajaan persekutuan untuk mengambil alih Jambatan Lanang asalkan rakyat terus memberi mandat untuk kami memerintah," katanya.
(Petikan dari Bernama: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=577088)

SIBU, 13 April (Bernama) — Kementerian Kerja Raya tidak mempunyai masalah untuk mengambil alih pengurusan Jambatan Upper Lanang yang menghubungkan Sibu dan kawasan sekitarnya jika diluluskan Jemaah Menteri, kata Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor. Beliau berkata kementerian itu telah meminta Jabatan Kerja Raya berbincang dengan kerajaan negeri Sarawak bagi menyelesaikan beberapa isu teknikal sebelum satu laporan lengkap dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.

Jambatan itu siap dibina syarikat swasta pada April 2006 yang diberikan konsesi selama 30 tahun bagi memungut tol daripada pengguna dengan kadar sehala 50 sen (motosikal) RM3 (kereta), RM5 (kenderaan pacuan empat roda) dan RM10 (lori). “Ini seperti isu pengurusan tol, bayaran kos serta penyerahan jalan kepada kerajaan persekutuan. Bagi pihak kementerian, tiada halangan dengan cadangan kerajaan negeri supaya kita ambil alih,” katanya.
(Petikan dari http://sarawakupdate.com/home/berita/kementerian-sedia-ambil-alih-jambatan-lanang/) 



Bil 47/2011 Pengetahuan dan Skill


Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Emel dari rakan saya terima pagi ini, dalam bahasa Inggeris. Saya terjemahkan seperti berikut;

Apabila enjin sebuah kapal bersaiz gergasi gagal berfungsi, tuan punya kapal tersebut telah meminta bantuan pakar. Beberapa pakar yang dipanggil untuk membaiki enjin tersebut telah menemui kegagalan. 

Akhirnya beliau telah memanggil seorang tukang yang telah menjadi pembaiki enjin sejak dari muda lagi. Dia membawa bersamanya sebuah beg yang dipenuhi peralatan. Sebaik sampai, dia tanpa melengahkan masa telah menjalankan tugasnya. Dia memeriksa enjin tersebut dengan begitu teliti, dari atas ke bawah.

Dua dari pemilik kapal gergasi tersebut berada di situ, mengharapkan agar si-tukang ini tahu apa yang perlu dia buat.

Selepas memeriksa keseluruhan enjin, dia dengan cermat mengeluarkan sebatang tukul kecil dari begnya. Dia kemudiannya telah mengetuk pada satu bahagian enjin dengan perlahan. Setelah itu cuba dihidupkan enjin tersebut. Sungguh kagum sekali kerana enjin itu dapat dihidupkan hanya dengan sekali percubaan. Kemudian dia pun dengan cermat telah menyimpan balik tukul tadi. Enjin telah siap dibaiki.

Seminggu kemudian, pemilik kapal telah menerima ‘bill’ dari tukang tersebut berjumlah RM10 ribu. “Apa!, Dia tak buat apa-apa, Kenapa harganya begitu tinggi?”.  Pemilik kapal tersebut pun menulis kepada tukang tersebut meminta agar diberi bill yang terperinci.

Tukang itu mengirim bill yang tercatat:
Mengetuk dengan penukul:  RM2.00
Tahu dengan tepat dimana tempat untuk diketuk:  RM9998.00

USAHA ITU PENTING, TETAPI TAHU DI MANA UNTUK MEMULAKANNYA, ITULAH YANG MEMBEZAKANNYA. ANTARA USAHA BERSUNGGUH-SUNGGUH DAN USAHA MEMBUTA TULI.
Ia bukan semata-mata mengenai tukul, tetapi pengetahuan dan ilmu di sebaliknya.

Bil 46/2011 Bini KM Lebih Ramai Peminat


Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Hari yang sibuk bagi Ketua Menteri Sarawak YAB Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud. Selesai sahaja penamaan calon bagi kawasan beliau di Balingian Mukah, beliau dan isteri serta rombongan telah terbang ke Bintangor menggunakan helikopter khas.

Program yang sepatutnya bermula pada 2.00 pm telah sedikit terlewat. Rombongan KM tiba di SK Abang Amin pada 2.30 pm. Majlis Perasmian Blok Akademik Baharu SK Abang Amin Bintangor berakhir pada 3.45 pm. Untuk acara seterusnya, rombongan KM telah ke SMK Kai Chung, untuk upacara ‘pecah-tanah’ pembinaan stadium mini bagi kemudahan sekolah.

Perkongsian foto yang di-emel oleh rakan…

Bil 45/2011 Cuti Sekolah Di Luar Musim

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Hari ini enam buah sekolah lagi sekitar Sarawak, diberi kelulusan dan kebenaran untuk bercuti 'ganti' kerana  dijadikan sebagai pusat penamaan calon pilihan raya negeri Sarawak kali ke-10.  Sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abg Hj Openg bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Demak Laut; SMK Petra Jaya (Tupong); SMK Semerah Padi, Petra Jaya (Semariang) dan SK Merpati Jepang (Satok); keempat- empat di Kuching. Dua lagi sekolah di Sibu, iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Thai Kwang bagi kerusi DUN Dudong dan SMK Sacred Heart (Pelawan).

Sementara semalam pula (5.4.2011) beberapa buah sekolah rendah dan menengah yang majoriti tenaga pengajarnya adalah guru-guru dari keturunan Cina, bercuti ganti sempena perayaan Ching Ming. Pada hari tersebut, kaum Cina  menziarahi kubur nenek moyang dan ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia. Mereka bersembahyang dan membersihkan kawasan kubur sebagai tanda menghormati dan memperingati nenek moyang mereka.

Cuti-cuti Malaysia.

Bil 44/2011 Ayat-ayat Cinta.


Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Dalam pemanduan ke tempat kerja pagi ini saya tertarik dengan sebuah lagu dari ‘seberang’ nyanyian Rano Karno. Penyanyi ini cukup popular dalam era 80an dan saya juga antara yang suka mendengar dendangan lagu ‘Yang Sangat Ku Sayang’ ini. Entah macam mana tiba-tiba saya teringatkan banyak kes yang saya baca sama ada dalam akhbar atau secara on-line yang menceritakan mengenai keghairahan kanak-kanak, gadis dan wanita Malaysia terhadap lelaki Indonesia, sehingga mereka sanggup lari dan melarikan diri bersama jejaka Indonesia. Destinasi yang paling popular setakat ini ialah LOMBOK.

Powered by Blogger